Kelahiran Nabi Muhammad SAW
.
Masih ramai masyarakat Islam yang sebenarnya tidak mengetahui sirah dan peristiwa di sebalik kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan jika tahu pun masih ada yang sanggup memperkecilkan kerahmatan dan kemuliaan Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam. Oleh kerana itu terpanggil untuk menyingkap kembali peristiwa di sebalik kelahiran Baginda Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam,
Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf bin
Qusaiy telah dilahirkan pada 9 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan dengan
20 April tahun 571M di rumah datuknya, Abdul Muthalib bin Hasyim
berhampiran kaabah, Mekah al-Mukarramah. Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam dianggap sebagai
pembuka rahmat seluruh alam semesta dan menjadi seribu satu tanda
bahawa Baginda akan menjadi utusan terakhir dalam menyampaikan risalah
Islam dan ia merupakan peristiwa utama dalam sejarah Islam.
.
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam
mempunyai kelebihan luar biasa, bukan sahaja dilihat dalam pada sebelum
kelahirannya tetapi dalam semasa dan selepas dilahirkan. Peristiwa luar
biasa ini disebut sebagai ‘Irhas’.
Irhas bermaksud satu
perkara luar biasa bagi manusia yang normal dan hanya diberikan kepada
bakal nabi. Irhas dikategorikan kepada tiga:
- Irhas yang dinyatakan di dalam kitab yang tidak boleh diubah atau dipinda.
- Alamat-alamat kerasulan yang dibuktikan melalui perkhabaran daripada orang alim melalui ilham dan sebagainya.
- Kejadian luar biasa yang berlaku semasa kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
.
.
.
.
Peristiwa Di Sebalik Kelahiran Baginda Junjungan Besar
Banyak keajaiban yang berlaku sebelum kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, antaranya:
.
1. Malaikat Memberitahu
Aminah tidak perasan kehamilannya
hinggalah ke 9 bulan, sebab tidak ada tanda atau kesan. Kehamilan Aminah
hanya disedari melalui perkhabaran malaikat yang datang kepadanya
ketika beliau sedang tidur. Malaikat mengatakan bahawa beliau telah
mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu kepada seluruh umat manusia.
Setiap malam mimpinya jumpa perempuan-perempuan mulia seperti Siti
Asyiah, Masyitah dan lain lain yang memberitahu dia, “Hai Aminah bertuahlah engkau, engkau akan melahirkan anak yang menjadi Nabi akhir zaman.”
“Iya ke? Aku tidak mengandung!” kata Aminah. Hampir setiap malam, beliau bermimpi dan kata-kata itu kerap diulangi, “Hai Aminah bertuahnya engkau, kerana akan melahirkan Nabi akhir zaman.” Aminah hairan, sebab mimpi dan realiti tidak sama, kerana dia berikiran dia tidak mengandung.
.
.
2. Wajah Ibu Bapa Bercahaya
Abdullah bin Abdul Muthalib yang bakal
mewariskan zuriat Nabi akhir zaman telah Allah berikan tanda di dahinya
cahaya dari usia kecil lagi. Terutama waktu malam, apabila dia pergi ke
mana-mana orang akan nampak cahaya di dahi, mereka berkata, ini Abdullah
datang, sebab mana ada orang bercahaya di dahi. Kemudian setelah
kehamilan Aminah, cahaya tersebut berpindah daripada wajahnya Abdullah
ke wajah isterinya.
.
.
3. Semua Makhluk Berkata
Ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim
Aminah, Allah SWT memerintahkan malaikat supaya membukakan pintu syurga
Firdaus dan memberitahu semua penghuni langit dan bumi.
Tanah-tanah di persekitaran kawasan
tersebut yang kering menjadi subur, pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah
lebat. Begitu juga haiwan-haiwan di darat dan di laut sibuk
membincangkannya.
.
.
4. Mimpi Menakjubkan
Aminah turut mengalami mimpi yang
menakjubkan. Beliau menadah tangan ke langit dan melihat sendiri
malaikat turun dari langit. Ia diumpamakan kapas putih yang terapung di
angkasa.
Kemudian malaikat tersebut berdiri di hadapannya. Ia berkata, “Khabar
bahagia untuk saudara, wahai ibu daripada seorang nabi. Putera saudara
itu menjadi penolong dan pembebas manusia. Namakan dia Ahmad.”
Semasa kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam,
Aminah ditemani Asiah dan Maryam. Aminah ketika itu ia seperti mendapat
isyarat bahawa anaknya, Muhammad akan mempunyai darjat yang lebih
tinggi daripada Nabi Isa dan Musa.
Keadaan ini diterangkan dalam kitab
Taurat dan Injil bahawa akan datang seorang nabi pada akhir zaman dan ia
memiliki kekuasaan yang lebih besar dan membawa ajaran yang telah
disempurnakan.
.
.
5. Cahaya Terpancar
Semasa Baginda dilahirkan, bondanya Siti
Aminah menyaksikan nur atau cahaya keluar dari tubuh badan baginda.
Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana Busra di Syria. Ia dilihat
seolah-olah seperti meluncurnya anak panah bagaikan pelangi sehingga
dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat.
Ada juga yang berpendapat bahawa cahaya
itu datang dan menerangi seluruh dunia. Ini dapat dijelaskan oleh
sumber-sumber Arab yang paling awal yang menyatakan bahawa suatu cahaya
terpancar dari rahim Aminah apabila baginda dilahirkan.
.
.
6. Diselimuti Awan
Aminah sendiri melihat Baginda dalam
keadaan berbaring dengan kedua tangannya mengangkat ke langit seperti
seorang yang sedang berdoa.
Kemudian bondanya melihat awan turun menyelimuti dirinya sehingga beliau mendengar suatu seruan, “Pimpinlah dia mengelilingi bumi Timur dan Barat, supaya mereka tahu dan dialah yang akan menghapuskan segala perkara syirik.”
Selepas itu
awan tersebut lenyap daripada pandangan Aminah. Setengah riwayat
menyatakan nabi dilahirkan dalam keadaan memandang ke arah langit
kemudian meletakkan tangannya ke tanah lalu bersujud ke arah kiblat
sebagai tanda ketinggian martabatnya daripada semua makhluk.
.
.
7. Bersih Tanpa Darah
Aminah semasa mengandungkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam,
dia tidak pernah merasa sakit dan susah sebagaimana dialami oleh
ibu-ibu hamil yang lain. Waktu lahir, Baginda tidak macam anak-anak lain
lahir, jika anak-anak lain emaknya akan rasa sakit dan keluar darah.
Ini bersih, elok dan bagus. Anak-anak lain bila keluar menangis, dia
tidak menangis malahan tersenyum.
.
.
8. Telah Terputus
Aminah juga menyedari kelahiran bayinya tidak seperti anak-anak baru lahir yang lain. Dengan kehendak Allah SWT, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan (bersunat) dan tali pusatnya juga telah siap diputuskan.
.
.
9. Kehancuran Tentera Bergajah
Kedatangan tentera bergajah hendak
menyerang kota Mekah yang disebut di dalam al-Quran surah al-Fil. Ia
diketuai oleh Abrahah dengan menunggang seekor gajah besar bernama
Mahmudi. Apabila mereka hampir sampai ke tempat tersebut, gajah-gajah
itu berhenti dan berundur dengan izin Allah SWT.
Namun demikian, sekumpulan burung Ababil
datang menyerang dan menghancurkan mereka sebagaimana yang disebut di
dalam al-Quran. Peristiwa ini amat menakjubkan dan diriwayatkan dalam
kitab-kitab sejarah.
.
.
10. Musnahnya Berhala
Dikatakan juga pada malam kelahiran Sallallahu Alaihi Wasallam, berhala-berhala yang terdapat di situ mengalami kerosakan dan kemusnahan.
Menurut riwayat daripada Abdul Mutalib, “Ketika
aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan
sujud kepada Allah. Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah
berkata, “Telah
lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku
daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang
Maha Mengetahui.”
.
.
11. Runtuhnya Istana Kisra
Di tempat yang lain pula satu gempa dan
goncangan telah berlaku di mahligai Kisra dan menyebabkan mahligai
tersebut retak seribu, manakala empat belas tiang serinya runtuh.
Keadaan ini merupakan penyebab kemusnahan keegoan
kekuasaan dan tanda-tanda kejatuhan serta runtuhnya kerajaan tersebut.
.
.
12. Padamnya Api Sembahan
Api di negara Parsi yang tidak pernah
padam hampir selama seribu tahun telah terpadam dengan sendirinya. Api
tersebut merupakan api sembahan orang-orang Majusi yang dianggap sebagai
tuhan. Peristiwa itu amat mengejutkan orang Parsi.
.
.
13. Semua Gereja Sanrah Roboh
Berbagai keajaiban di luar jangka telah terjadi pada hari kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, termasuk gereja-gereja batu di sekitar Wadi Sanrah roboh ranap setelah di landa gempa bumi.
.
.
14. Lenyapnya Tasik Sava
Dalam waktu yang sama, pada malam kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasalla,
Tasik Sava yang dianggap suci tenggelam ke dalam tanah ditelan bumi.
Maka telah lenyap satu lagi pusat sembahan yang dibanggakan.
.
.
15. Berakhirnya Pengetahuan Ghaib
Setelah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam lahir, tembakan bintang menjadi kerap sebagai tanda bahawa pengetahuan syaitan dan jin mengenai perkara ghaib sudah tamat.
.
.
16. Rahmat Seluruh Alam
Dalam riwayat yang sahih dan masyhur,
ketika baginda diasuh oleh ibu susunya iaitu Halimatus Sa’diah,
ladang-ladang Halimah kembali menghijau setelah mengalami kemarau.
Begitu juga binatang ternakan seperti
kambing mengeluarkan susu yang banyak. Selain itu, Nabi tidak pernah
diganggu walaupun oleh seekor lalat termasuk juga pakaian baginda.
Halimah dan suaminya juga beberapa kali melihat tompokan awan kecil di atas kepala melindungi baginda daripada panas matahari.
.
.
17. Malaikat Membelah Dada
Ketika berusia empat tahun, sedang
Baginda bermain-main dengan saudara susuannya, tiba-tiba datang malaikat
mendekati baginda iaitu malaikat Jibril dan Mikail.
Lalu membelah dada baginda dan
mengeluarkan segumpal darah dan mencuci gumpalan darah itu dengan salji.
Ada yang meriwayatkan bahawa gumpalan darah itu dicuci di dalam bejana
emas dengan air zam-zam, lalu diletakkan semula di tempatnya.
Hal ini jelas diterangkan dalam surah Insyirah ayat 1 :
“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ?”
.
.
.
.
Kesimpulan
Berdasarkan peristiwa tersebut jelaslah kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam mempunyai keistimewaan tersendiri. Ini kerana baginda adalah ‘khatamun nubuwwah’,
penutup segala nabi. Di samping itu, bukti-bukti tersebut juga
dijelaskan di dalam kitab kitab terdahulu seperti kitab Taurat, Zabur
dan Injil sebagai rasul yang terakhir.
.
Perkara-perkara luar biasa ini telah membuktikan kepada kita kemuliaan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di sisi Allah SWT, sekali gus sebagai bukti Kerasulan Baginda. Maka Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam adalah
teristimewa dan tidaklah boleh disamakan dengan mana-mana anak kecil
dan manusia lain di dunia ini sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah
pihak yang hanya bertujuan memesongkan pemikiran umat dan menidakkan
kerasulan Baginda dan keistimewaan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar